BACALAH dengan minda yang terbuka
pepatah lama karangan orang dulu kala.
Tentu banyak yang tersirat di dalamnya
meskipun tidak ramai yang memahaminya
kerana sudah terlalu moden adanya
sehingga kehilangan jati diri dan rupa
bangsa. Maka tentulah sukar untuk
memahami duduk perkara dan buah
bicara Melayu yang begitu hebat susun
aturnya.
Arakian maka berlarilah semua para
pembesar ke seluruh negara apabila
melihat huru hara bakal menjelma. Sudah
gemuruh bunyi garuda, sudah gegak
gempita seantero benua bahawa
malapetaka sudah menunggu hanya bala
belum tentu bila ketikanya. Ditanya oleh
memanda menteri kepada sekelian
pembesar negara bagaimana keadaan
cuaca dan duduk bangun rakyat jelata
semua?
Tanpa ragu, melompat-lompat seperti kera
kena belacan para pembesar memberi
laporan bahawa semuanya dalam
sejahtera wahai mamanda. Janganlah
bimbang, rakyat sangat gembira, hidup
bagaikan dalam syurga loka. Makanan
melimpah ruah, ayam itik penuh di
kandang, padi beras penuh di gudang.
Mafhum aula sungguh gembira menteri
memanda apabila mendengar perkhabaran
itu. Lantas apakah yang riuh rendah dan
gegak gumpita di hujung sana soal
memanda lagi. Oh, itu sebenarnya
kumpulan pedagang yang datang
menumpang kasih dan melulur sayang
dari kita. Si Kitul dan jSang Li Po turut
serta.
Lantas kerana rakyat jelata sudah cukup
semua, moleklah juga kita tumpukan
perhatian kepada mereka yang ke mari
menumpang kasih. Berikanlah segala
bantuan selagi terdaya walaupun tidak
diminta kerana kita ini memang terkenal
sebagai pemurah yang melimpah ruah
sehingga tidak luak susu sebelanga, tidak
surut air di sumur jika sekadar dikongsi
dengan mereka.
Gagasan satu negara kita kongsikan juga,
tidak mengapa kerana mereka itu tamu
kita. Kena berikan perhatian. Bangsa kita
sudah senang lenang, campaklah sebiji
benih di belakang kandang nescaya
esoknya tumbuh subur hingga menjadi
ladang. Tentulah ayam di kepuk tidak
mati kelaparan dan itik di air tidak akan
mati kehausan.
Melopong dan terngangalah sekelian
rakyat jelata, bilamana memanda menteri
terus-terusan memberi tanpa henti
kepada para tamu itu adanya. Malah
tanpa diminta, diberi juga. Lalu pikir
mereka barangkali hanya untuk
sementara. Lantas ditanya rakyat jelata
kepada pembesar daerah, pembesar negeri
dan juga pembesar negara apa makna ini
semua. Lantas kata para pembesar itulah
perkongsian pintar namanya. Hak kita
biar diberi sama rata, hak mereka
tentulah mereka akan jaga sebab sudah
jauh mereka berkelana dari benua nun
jauh di sana ke negara kita. Berikanlah
kesenangan kepada mereka sebab nanti
mereka lebih gembira untuk tinggal
bersama kita.
Makin melopong lagilah rakyat marhaen
yang sudah sekian lama tidak di sapa.
Sahibul hikayat mengirim pesan dan
menitip khabar pada memanda menteri
katanya sudah terlupakah kami di sini
sana hingga atap tiris sini sana, anak
perut kembung angin sahaja, nak santap
untuk hari ini pun susah sungguh rasanya
entah esok lupa bagaimana pula.
Kenapa gah benar memberi, tidak
kasihankah kepada kami, segala bakti
telah kami beri tapi kami dipandang sepi.
Perkiriman dikhabarkan pada pembesar,
tidak disampai kepada memanda sebab
bunyinya berbeza sudah tentu nanti
dimurka.
Purnama berlalu pergi, sudah sekian lama
dinanti umpama elergi dalam sepi.
Harapan hanya tinggal harapan, yang ada
di hadapan cuma kegelapan. Tidak dilihat
lagi semarak kasih kepada pertiwi, malah
segala harapan luntur di bawa angin sepi.
Memanda menteri amatlah gembira, sebab
rakyat makin makmur adanya.
Dikhabarkan lagi bahawa rakyat
tersangatlah menyayangi memanda
menteri yang sentiasa dipandang tinggi
kerana seluruh negara diberikan
perhatian yang berlebihan sehingga tidak
ada lagi ruang untuk berbakti dan
memberi sumbangan. Sudah lebih dari
kecukupan, sehingga ramai pula yang
ditimpa musibah akibat terlalu senang
hidup mereka.
Kerana itu perlu berhati-hati untuk
memberi lagi sebab dikhuatiri
mendatangkan musibah kepada rakyat
sendiri. Yang buncit perutnya ditakuti
busung, yang besar kenderaannya khuatir
tidak muat di aspal sana. Malah sudah
ramai yang mata, hidung dan telinga
mereka juga tersumbat akibat terlalu
senang dan mewah adanya sampai
terpaksa menyumbat segala macam
lebihan ke segenap ruang yang berlubang.
Memanda menteri bertanya lagi, di mana
pula perlu dilawati, siapa pula patut
diberi bantuan duniawi. Dicarilah orang
bijak pandai, maka dipalu genderang riuh
rendah merata-rata sehingga ke tepi
belantara. Akhirnya datanglah
sekumpulan kera mengadap memanda
menteri dan terus menangis dan merayu
katanya mereka kekurangan susu.
Kasihan sungguh memanda menteri yang
tulus orangnya sangat hebat kasihnya
pada rakyat jelata. Lantas dititahkan
kepada pembesar yang turut serta,
segeralah kalian berkejar mencari susu
untuk si kera ini kerana terlalu sedihnya
wajah dan kurusnya tubuh, dan
kuningnya kulit dan sebahagian mereka
pula sudah hitam seperti terbakar
matahari kerana terlalu kuat berusaha
untuk mendapat kehidupan yang lebih
baik.
Lalu dicarilah segera si ibu dan bapa
penyusuan, kerbau lembu rakyat juga di
ambil bagi memenuhi keperluan kera di
hutan. Melompatlah rakyat marhaen anak
yang di pangkuan juga sudah kering
susuan, hanya mengharap ternakan bagi
mengganti susuan. Hijau kuning mata,
berdesing juga telinga, rambut lebat juga
gugur semua. Apakah ini maknanya,
berikan betis mahukan paha. Ini sudah
terlebih agaknya siapalah punya angkara.
Di kalangan rakyat jelata, ada Luncai
namanya. Amat santai orangnya, bila
ditanya apa cara mahu dipinta hak kita
apa guna bernegara bilamana terlepas
semuanya. Lantas dijawab oleh si Luncai
'biarkan biarkan, biar terjun dengan labu-
labunya'.
Sudah kering airmata, sudah kurus anak
di pangkuannya tapi terpinggir tidak
dipeduli. Para kera semua hebat sungguh
mutakhir ini adanya. Besar tubuh
menjangkau enau, habis dilanggar kalau
tidak ketepi, pengsan atau boleh mati jika
tidak dituruti. Beginilah onarnya mereka,
berdusta setiap masa, mengadu domba
tanpa sebarang rasa, malah terasa hebat
sungguh adanya kera memanda menteri
percaya umpama dipusing seperti roda
dan terkesimalah dulu kini dan
selamanya.
Bukalah mata segera, bukalah minda
sentiasa, jauhkan sengketa kerana sangat
berbahaya. Jurang dalam menunggu kita,
rakyat marhaen tidak lupa akan segala
auta umpama kancil dan pelanduk
nampak serupa tapi ia tetap berbeza.
Hanya jauhari mengenal manikam mereka
meskipun jenisnya berbeza.

Your comment will be posted after it is approved.


Leave a Reply.