KUALA LUMPUR – Penerbangan Malaysia
(MAS) memberi layanan di luar
perkhidmatan mereka dengan membantu
menyediakan semua prosedur bagi
membawa pulang dari Vietnam seorang
rakyat negara ini bersama bayi perempuan
berusia 14 bulan, yang dihalang menaiki
pesawat tambang murah.
Izan Suhaila Mohd Ali, 36, dan Mariam
Sofea Mohd Reza dihalang menaiki pesawat
tambang murah itu di Lapangan Terbang Ho
Chi Minh pada Sabtu malam selepas bayi
perempuan berkenaan disyaki mempunyai
simptom penyakit berjangkit.
Ketua Pegawai Eksekutif MAS Ahmad Jauhari
Yahya berkata petugas MAS membawa
Mariam Sofea berjumpa seorang doktor
kerana langkah itu adalah prosedur
standard untuk semua penumpang yang
memiliki simptom penyakit berjangkit bagi
memperoleh sijil layak menaiki pesawat.
Ini bagi memastikan tidak ada penumpang
yang mendatangkan risiko kesihatan kepada
penumpang lain, katanya dalam satu
kenyataan hari ini.
Beliau juga berkata doktor kemudian
mengesahkan bayi itu tidak lagi dijangkiti
dan sudah melepasi tempoh inkubasi
manakala bintik hitam di tubuh Mariam
Sofea sebenarnya keruping.
“Sejurus selepas itu, MAS membantu
menyediakan dokumen perjalanan untuk
Izan, Maryam Sofea dan dua lagi saudara
mereka. Mereka ditempah untuk
penerbangan MH759 yang berlepas dari Ho
Chi Minh semalam agar tidak perlu lagi
bermalam di sana sekali gus terpaksa
berbelanja lebih,” katanya.
Ahmad Jauhari berkata petugas MAS dari
Saigon turut menghantar keluarga itu ke
lapangan terbang dari hotel mereka, dan
apabila tiba di lapangan terbang, pasukan
perkhidmatan di situ sudah bersedia
dengan semua dokumentasi yang diperlukan
bagi memastikan daftar masuk pantas.
“Seorang petugas diarah mengiringi
keluarga itu bagi pemeriksaan Imigresen
dan Kastam. Ini penting kerana terdapat
persoalan berhubung cop dalam pasport
mereka berikutan insiden hari sebelumnya,”
katanya.
Izan dan keluarganya berjaya menaiki
penerbangan MH759 dan berlepas dari
Saigon ke tanah air pada 4.40 petang.
Ahmad Jauhari berkata pihaknya gembira
pasukan petugas MAS di Saigon memberi
layanan mesra 100 peratus ala Malaysia
dalam situasi ini.
Beliau berkata keupayaan pasukan itu
bertindak di luar tugas mereka perlu dipuji,
dan turut membanggakan mereka tidak
melanggar mana-mana peraturan dalam
prosedur standard.
“Saya secara peribadi ingin mengucapkan
berbanyak terima kasih kepada semua
petugas yang terlibat secara langsung dalam
kes ini,” katanya.
Penerbangan MAS berlepas ke bandaraya
Ho Chi Minh tiga kali sehari.

Your comment will be posted after it is approved.


Leave a Reply.