PILIHAN Raya Umum ke-13 (PRU-13)
sudah lama berakhir. Namun ibarat
rumah sudah siap pahat masih berbunyi
berdentung-dentang di sana sini. Soalnya
apa yang pakatan pembangkang yang
lebih dimaklumi sebagai Pakatan Rakyat
(PR) mahu lagi. Negeri Selangor mereka
menang besar dengan menggondol 44
kerusi.
Jumlah kerusi itu lebih dua pertiga.
Barisan Nasional (BN) yang kalah tidak
pula mengatakan calon PR menipu untuk
menang. Sesuai dengan konsep beragama,
calon BN menerima kekalahan atas faktor
takdir. Di Pulau Pinang PR menang, di
Kelantan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik
Aziz Nik Mat masih boleh tersenyum lebar
sebelum bersara kerana BN masih gagal
merampas kembali negeri Cik Siti Wan
Kembang itu. Apa yang menyedihkan
sejak pengumuman keputusan PRU-13
pemimpin pembangkang dalam dua nada
menerima kemenangan dalam protes.
Protes yang diadakan di seluruh negara
bermula dengan perhimpunan puluhan
ribu penyokong di Stadium Kelana Jaya
memberi impak negatif kepada PR sebagai
kerajaan di Kelantan, Pulau Pinang di
Selangor.
Pemimpin-pemimpin pembangkang selesa
membelasah Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR) sejak dari 2008 hingga kini.
Sepatutnya jika PR memprotes, tidak
perlulah Menteri Besar Selangor paling
berbakat dalam bidang ekonomi, Tan Sri
Abdul Khalid Ibrahim memegang tombak
sambil membacakan 10 aku janji.
Begitu juga Ketua Menteri Pulau Pinang,
Lim Guan Eng dan Menteri Besar
Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob tidak
perlu mereka mengangkat sumpah
jawatan jika PR yang menjadi payung
parti mereka masih melalak hingga kini.
Jika rakyat sudah memutuskan, maka
terimalah kekalahan dengan hati reda dan
jangan sesekali berputus asa dengan
segala yang tersurat dan hayatilah yang
tersirat.
Sabtu lalu di Amcorp Mall, Petaling Jaya
perhimpunan protes terus berjalan, maka
buat selamanya rakyat yang telah memilih
BN sebagai kerajaan pusat akan melabel,
inilah parti yang tidak mahu menghadam
keputusan rakyat yang dibuat dengan
penuh rasional. Bukan mudah seseorang
calon dipilih tidak kira apa sahaja tagline
seperti Ini Kalilah atau Saya Akan Undi
Parti XXX yang dibuat oleh PR.
BN sendiri membuat pelbagai kempen
PRU-13 di Selangor tetapi jelas orang
Selangor yang ada masalah rumah tidak
mahukan rumah-rumah itu. Malahan ada
yang menolak mentah-mentah segala janji
yang diberikan BN kerana taksub dengan
slogan Ini Kalilah. Sehingga sekarang
selepas BN mendapat 133 kerusi dari 222
kerusi berbanding PRU-12 ,140 kerusi,
penulis masih tidak faham mengapa
slogan mengikut slanga Cina bercakap
Bahasa Malaysia itu digunapakai oleh
komponen PR seperti PKR dan Pas yang
majoritinya berbangsa Melayu.Adakah
benar selama ini DAP menunggang PKR
dan Pas untuk berjaya hingga slogan
ringkas itu dilihat menunjukkan parti
yang dominan adalah parti tersebut.
Sewajarnya umat Islam dan Melayu dalam
kedua parti bertanya diri sendiri, apakah
motif jelas pemimpin-pemimpin mereka
memilih untuk bersatu dan cuba
menghancurkan BN yang begitu berjasa
hingga syarikat yang menjual nasi lemak
bungkus dalam kapal terbang boleh wujud
di negara ini.
Begitu mudah orang Cina memilih calon
PR dan menolak calon BN, sehingga calon
seperti Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan
Datuk Seri Abdul Ghani Othman yang
merupakan pemimpin hebat dan senior di
dalam kepimpinan negeri ditolak mentah-
mentah. Apakah jasa pemimpin seperti
Lim Kit Siang atau Shamsul Iskandar
Md.Akin ( Giant-Killer ) hingga mereka
terpilih. Soalnya bukan apa yang PR mahu
kali ini, tetapi apa yang penyokong dan
pengundi mereka mahu.
Dalam demokrasi semuanya boleh berlaku
kerana pemimpin menyumbat persepsi ke
minda pengundi tetapi adakah apa yang
disumbat masuk ke minda sedar mereka
mampu diterjemah menjadi satu pilihan
muktamad?
Apa yang pasti SPR telah dengan telus
melaksanakan tugas mereka hingga
segalanya berjalan dengan lancar. Kepada
pemimpin PR, masa masih panjang untuk
kita terus ke depan. Terimalah kekalahan
dengan 'gentleman'. 89 kerusi Parlimen
bukan suatu yang teruk, tetapi apa yang
teruk adalah bagaimana kita berurusan
dengan keputusan rakyat.
Terimalah ketentuan kerana mungkin
slogan Ini Kalilah boleh ditukar menjadi
Ini Kuasa Allahlah! Nik Aziz dan Abdul
Hadi Awang lebih arif soal ini. Insya-
Allah.

Your comment will be posted after it is approved.


Leave a Reply.